Tuesday, July 15, 2008

Rebutlah Pangkat Isteri Solehah

Allah swt Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi
kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila
mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan
Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat
perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai
taraf solehah dan bertaqwa.

Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi
cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih
keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu
kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa bersembahyang sahaja aurat
ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang
mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga
tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil
lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat
hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang
menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.

Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan
amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda
tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa
berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang
disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah,
baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari
kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan
terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu
dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita
lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh.
Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh 'wildan-wildan' nya
(suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam
syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah
pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang
secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya.
Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala
perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang
banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang
sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat.
Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan
rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya
mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.

Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak
dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih
tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia
ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan
biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan
dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik
sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya
untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul.
Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di
mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya.
Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala
seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan
semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.

Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan
kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang
menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak
yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga
mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami
kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh
dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan
baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula
tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi
perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia
seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu
suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan
simpanan walau sebanyak manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya
terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan
urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh
mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah
sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan
sering berkata, 'Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan'.
Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri
telah faham dengan kedudukannya.

Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya
telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila
seseorang itu telah berkahwin, Insya'Allah sembahyangnya akan lebih
khusyuk kerana sebahagian dari agamanya telah diselamatkan. Di
samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan
fikiran.

Untuk menjadi isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang
diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin
mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah
supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang
bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana
sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi
menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan
selalulah rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui
Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat
kepada sesiapa yang merinduiNya dan mereka akan bersama-samaNya di
dalam syurga kelak.

Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi
keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain
gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh
menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan,
mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan
sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram)
yang telah Allah tetapkan, hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan
bersinar cahayanya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh
Rasulullah untuk menuju ke syurga.

No comments: