Thursday, February 19, 2009

TARBIYYAH RUHIYYAH TANGISAN KERANA TAKUT KEPADA ALLAH ? SATU PENILAIAN TERHADAP PERSOALAN HATI

Sekadar renungan....


Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu, bapa, anak-anak, jiran, sanak saudara terdekat dan seumpamanya. Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai karenah dan watak dalam filem tertentu.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan jenis manusia yang menangis kerana takutkan Allah sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiyyah seperti yang dialami oleh generasi silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah SWT.

Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah SWT.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w ada memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud : Wahai Ali, jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama’ (menadah kitab, maka mereka akan ditimpakan oleh Allah dengan dua implikasi, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.

Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunujukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama’ untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara, hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam, membenci ulama’, menderhaka kepada kedua ibu bapa, melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggapa sebagai jenayah di sisi Allah SWT.

No comments: